Friday, October 22, 2010

20102010 - Hari penuh pencapaian.

Salam Jumaat, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Alhamdulillah, sampai lagi ke hari Jumaat. Pejam celik, pejam celik.. cepat betul!

Kenapa tajuknya 20102010? Heheh... Sejujurnya saya tidaklah seghairah orang lain, memandang tarikh itu dengan rasa kagum, melihatnya seolah-olah ianya tarikh penuh keramat. Akan tetapi, kebetulannya Allah taqdirkan hari itu penuh dengan pencapaian. Memandangkan baru hari ini saya sempat update blog, maka terpaksalah saya berkongsi satu entri yang agak backdated!

1. Buat pertama kalinya, Ihsan akhirnya berjaya menapak (merangkak) selangkah dua. Kebetulan ketika itu sedang bervideo-call dengan adindaku Jannatul Madihah a.k.a Mak Lang. Rezeki Mak Lang nampaknya! sayangnya, aksinya itu tidak sempat dirakamkan..

2. Bagai tak cukup dengan pencapaiannya itu, Ihsan sekali lagi mencapai benchmark seterusnya, dia berjaya bangun dan berdiri sambil berpegang pada stool dan meja kopi di ruang tamu. Alangkah gembiranya dia! (Ummi dia yang terlebih excited!).

Lihatlah perkembangannya yang sangat mengujakan. (Sila abaikan 'hasil seni' yang menjadi background gambar ye..)

 Berusaha keras untuk mencapai meja kopi berdekatan stool sebaik stabil berdiri.
Masih agak cuak... Pegang kuat-kuat Ihsan. Ummi jauh ni..

 Amboi amboi.. berani lepas tangan sebelah yea..
 Sempat memberi pose istimewa untuk Ummi yang sibuk tangkap gambar!
Best kan explore dunia dari aras penglihatan yang baru?

3. Pencapaiannya tidak terhenti setakat itu. Pada petang itu, saya perasan Ihsan pertama kali membuat 'mulut ikan emas' dengan bibirnya. Satu trait yang diwarisi dari ayahnya, abang-abang & kakak-kakaknya.. Juga tidak sempat saya rakamkan, kerana ketika itu dia sedang leka melihat sesuatu dan terus tersenyum bila ditegur. Bila tersenyum, hilanglah mulut kiut itu! 

4. Dan yang paling seronok sekali adalah pencapaian diri sendiri yang berjaya membereskan kebanyakan kerja dalam jangkamasa yang singkat. Juga berjaya menahan diri (bercuti) daripada membuka laptop seharian suntuk! *Pat on my back*

Cukuplah, nanti lain kali kita cerita lagi, insyaAllah.. :)

Friday, October 15, 2010

Seminggu yang sangat pantas.

Salam Jumaat buat semua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Benarlah dunia dah hampir sampai ke penghujungnya. Tiba-tiba sahaja dah hari Jumaat. Isnin & Selasa yang hyper-sibuk, Rabu & Khamis yang tak lekang dengan tugasan harian. Dan hari ini hari Jumaat. Allah...

Jumaat memang indah. Boleh dikatakan semua orang yang bekerja sangat menanti-nantikan hari Jumaat. Kerana Jumaat bermaksud, esoknya Sabtu..

Bagi saya, hari Jumaat memang istimewa. Kesibukannya juga cukup istimewa. Dan jika hari-hari lain saya rasakan sangat pantas berlalu, hari Jumaat pula memang tersangat pantas! Apa-apa pun, saya bersyukur kerana masih hidup, menjalani satu lagi Jumaat dalam hidup saya. Semoga saya manfaatkannya dengan baik. Allah, bantulah..


Sehingga ke hari ini, saya masih belum mampu menghasilkan entry yang berkualiti. Saya amat ingin melapangkan sedikit ruang masa bagi tulisan yang baik. Namun buat masa ini kekangan masa menghadkan ruang & peluang yang ada. InsyaAllah, kelak ada berita gembira yang bakal meringankan tugasan harian... amin!

Doa-doakanlah ye? Sehingga itu, memang setiap minggu akan jadi minggu yang sangat pantas!

Wednesday, October 13, 2010

'Tak Puas' pun nikmat juga...

Ada ketikanya, kami sekeluarga makan di luar. Dan seperti biasa, kami akan memesan makanan kurang daripada jumlah orang yang ada. Seringkali kami akan berkongsi makanan dan minuman..

Ada kalanya, saya atau suami membelikan 'jajan' atau makanan ringan untuk anak-anak. Seperti biasa, makanan ringan ini dibeli dalam kuantiti yang sedikit, dan mereka terpaksa berkongsi makanan itu..

Ada waktunya, kami membelikan anak-anak minuman dalam kotak. Minuman dalam kotak itu bukan sekotak seorang, tapi sekotak minuman 1 Liter yang terpaksa dikongsi oleh seisi keluarga.

Natijahnya, anakku sering berkata,

"Nanti along besar, along belikan jajan sorang satu. Baru puas makan!"
"Nanti abang amir dah kerja, abang amir beli air kotak banyak-banyak.. Baru best, puas minum!" 
"Nanti kakngah besar, kakngah belanja ayah & ummi makan. Seorang sepinggan, boleh order air banyak-banyak! Baru puas.."


Dan setiap kali saya mendengar kata-kata mereka yang bersemangat itu, saya tersenyum. Saya tahu, keadaan 'berkongsi' itu menyebabkan mereka tidak puas menikmati apa yang mereka gemari. Saya amat tahu...


Kadangkala, naluri seorang ibu menyebabkan kita teringin untuk memberi mereka segalanya, memperlengkapkan mereka secukupnya, mengadakan segala yang mereka ingini dan seboleh-bolehnya tidak mahu melihat anak-anak kecewa atau merasa tidak cukup. Namun, saya seorang ibu. Saya punya tanggungjawab. Tanggungjawab mendidik dan mempersiapkan mereka untuk bersedia menghadapi kehidupan duniawi yang sungguh getir. Dan bertanggungjawab untuk mendidik mereka agar mengetahui bahawa mereka lahir ke dunia dengan tanggungjawab.

Seringkali bila frasa "..biar puas!" itu mereka tuturkan, saya mengambil peluang yang terbuka untuk mengajak mereka berdiskusi.

***

"Ummi, bestkan kalau apa yang kita nak, semua kita dapat?" kata along.

"Hmm.. mestilah best! Tapi along rasa betul ke kalau kita dapat semua yang kita nak, kita akan rasa best?"
Berkerut dahi si along mendengar soalan Ummi.

"Eh, takkanlah tak rasa best Ummi... Habis, kita dapat apa yang kita nak..." Jawab along, teragak-agak

"Cuba along bayangkan. Along makan KFC (sbg contoh) banyaaaak-banyaaak sampai puas. Agak-agak lepas along kenyang dan puas sangat tu, along rasa nak makan tak lagi KFC tu?" Ummi cuba menduga.

"Hmm, dah kenyang, mestilah along tak nak dah makan KFC," jawab along pantas.

"Kalau hari ni Ummi belikan along KFC banyak-banyak, esok Ummi belikan lagi along KFC banyak-banyak, lusa Ummi belikan lagi. Along suka tak?" Ummi menambah lagi, ingin menduga.

Terdiam sebentar, berfikir agaknya. Riak muka along agak tersenyum mendengar perkataan 'banyak-banyak', mungkin membayangkan betapa seronoknya kalau ia jadi realiti. Tapi kemudian wajahnya berubah menjadi agak serius, dan akhirnya dia menjawab, "Hmmm.. tak bestlah Ummi. Mesti along jemu. Hari-hari makan KFC banyak-banyak.."

"Kalau along jemu, rugilah along, kan? Sebab dah kurang dah benda yang along suka. Dulu along suka KFC, tapi sekarang along dah jemu.. Rasa 'tak puas' ini pun nikmat tau along..Bila sesuatu tu sedap dan jarang dapat, along akan rasa best dapat makan, walaupun sikit, betul tak?"

"Betullah Ummi. Agaknya kalau along dapat terus apa yang along nak mesti along dah rasa tak best. Tapi along tahu, ada tempat yang along boleh dapat apa je yang along nak!" Wajah along kembali ceria.

Adik-adiknya yang hanya memasang telinga sejak tadi makin mendekat. Rupa-rupanya mereka juga ingin tahu apa yang along bakal katakan. Ummi membiarkan along bercerita. Kerana Ummi percaya, yang paling penting ialah memahamkan si abang, kelak dia akan menjadi penyampai yang sangat berkesan - pengaruh rakan sebaya.

"Ummi dulu ada cakap, kalau kita masuk syurga kita akan dapat semua, apa je yang kita nak," tutur along, seronok kerana seluruh perhatian tertumpu padanya.

"Kalau kakngah nak beg sekolah ada roda? Yang warna pink? Boleh ke?" tiba-tiba kakngah menyampuk. Matanya menatap wajah abangnya dengan penuh penantian.

"InsyaAllah kakngah akan dapat. Kan Ummi?" along menjawab penuh yakin, sambil memandang Ummi untuk pengesahan. Ummi hanya tersenyum mengangguk. Membiarkan gelanggang perbincangan dibuka. Membenarkan along menjadi moderatornya. Along sebagai abang yang bakal menjadi ketua adik-adiknya, bakal menjadi ketua keluarga dan pejuang agama, insyaAllah..

"Abang Amir nak coklat! Oh, oh... abang amir nak mainan, nak mainan.." si kecil berumur  4 tahun lebih pun turut teruja menyenaraikan keinginannya.

"Tapi kenalah masuk syurga dulu... Kalau nak masuk syurga, kena taat ibubapa, kena solat, baca Quran, tutup aurat. Macam yang kita belajar di PASTI," along melayan kerenah adik-adik. Perbincangan antara Ummi dan along telah menjadi medan anak-anak berfantasi tentang keinginan masing-masing..

***

Tersenyum saya melihat semangat anak-anak. Tersentuh hati melihat keakraban mereka. Memang, sebentar lagi mereka akan kembali dengan kenakalan mereka. Dan isu 'tidak puas' itu pasti bangkit kembali. Tapi itulah anak-anak. Ikhlas dan telus. Tanggungjawab kita sebagai ibubapa mencorakkannya menjadi anak-anak yang soleh. Mengingatkan mereka andai terlupa. Tidak jemu mendidik dan terus mendidik. Selagi nyawa dikandung badan...

Sunday, October 3, 2010

AHAD.. AHAD.. AHAD..

Assalamualaikum, salam Ahad buat semua..

Bagi kita yang hidup di zaman ini, bila sebut AHAD, maka kita akan associate atau kaitkan dengan cuti dan bermalas-malasan, bergembira dengan keluarga atau enjoy bershopping dengan kawan-kawan atau keluarga.

Tapi saya sengaja ingin menukar sedikit perspektif, dengan melihat perkataan Ahad yang mempunyai makna signifikan dengan ketauhidan. Suka saya menarik perhatian pembaca menelusuri suatu kisah yang kita sering dengar sejak kecil dulu, sekadar renungan di hari Ahad ini...

****

BILAL BIN RABAH : “KULITNYA HITAM, HATINYA PUTIH”

Di mana sahaja kita berada di pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah. Kelahirannya dari bumi Habsyah, mengikut riwayat lain, dari negara Hijaz.

Kulitnya berwarna hitam, ternyata hatinya putih berseri dengan basuhan wudhu’ yang tidak pernah diabaikannya sejak keislamannya. Terbukti dengan kisah Isra’ dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha fana’.

“Wahai Bilal, apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.
 Bilal menjawab, Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudhu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau menjadi hamba kepada seorang tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam. Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.
Semasa bilal masih hamba, berita keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan Bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat di dada bilal, sehingga sendat penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan “AHAD.. AHAD.. AHAD..” sahaja, sebagai tanda ketauhidan Bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq R.A melihat kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah peri kebinatangan, menyebabkan Abu Bakar telah membeli Bilal, malah memerdekakannya.

Bilal terselamat dari seksaan Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti sekadar itu, malah berterusan pula dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan terhadap bapa Ammar, Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.
Umayyah yang jahat dibunuh Bilal dalam peperangan Badar, waimma pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan, kehadirannya dalam peperangan badar akan menyebabkan dia berketemu dengan Bilal.

Tidak mahu terlibat dalam peperangan badar, memperlihatkan kekecutan Umayyah yang dilihat berani dihadapan hamba-hamba yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan Umayyah seperti perempuan.
Diambilnya setanggi wangian, diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, ”wangian setanggi akan melekat kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan, tetapi adalah wanita,” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.
Bagai dipelempang ke muka dengan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit itu, menyebabkan Umayyah terlibat juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai, seterusnya berjumpa dengan Tuhan yang maha memberi keadilan.


Umayyah terbunuh dalam peperangan badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti Bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak keIslaman Bilal, beliau sangat rapat dengan Nabi SAW. Kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan 'geli geleman’ dalam hati Nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, bilal yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang diseksa oleh kuffar, dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (baca : tukang azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.
Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.
Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.
Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.
Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.
“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, bilal kesedihan. Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.
Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.
Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; Hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.
Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik Bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung kaabah dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.
“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.
Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” kegamatan Madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.
Tangisan yang berpunca, cari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. kerinduan bersama kekasih Allah yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta.

Semasa Bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut, pasti akan ditolak.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.
Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka Blal pun akur. Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan Bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah Bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 Hijriah.

(credits to http://amirhk.wordpress.com/)

***

Marilah sama-sama kita renungkan, apakah nilaiannya AHAD di hati kita? AHAD... AHAD... AHAD...

Saturday, October 2, 2010

Mencuci sesawang yang bersawang

Assalamualaikum.

Entry kali ini sekadar pemanas badan, pembuka bicara atau boleh dianalogikan sebagai house-warming. Justeru berbulan-bulan blog ini terbiar, terdampar, terhampar tanpa sebarang entry. Insya-Allah saya akan kembali menulis. Tapi maaf, bukan hari ini...

P/S: UIKKKSS?! Ada masalah mengupload gambar. Jadi entry kali ni memang tersangat poyo dan polos! *huhu...*