Wednesday, October 13, 2010

'Tak Puas' pun nikmat juga...

Ada ketikanya, kami sekeluarga makan di luar. Dan seperti biasa, kami akan memesan makanan kurang daripada jumlah orang yang ada. Seringkali kami akan berkongsi makanan dan minuman..

Ada kalanya, saya atau suami membelikan 'jajan' atau makanan ringan untuk anak-anak. Seperti biasa, makanan ringan ini dibeli dalam kuantiti yang sedikit, dan mereka terpaksa berkongsi makanan itu..

Ada waktunya, kami membelikan anak-anak minuman dalam kotak. Minuman dalam kotak itu bukan sekotak seorang, tapi sekotak minuman 1 Liter yang terpaksa dikongsi oleh seisi keluarga.

Natijahnya, anakku sering berkata,

"Nanti along besar, along belikan jajan sorang satu. Baru puas makan!"
"Nanti abang amir dah kerja, abang amir beli air kotak banyak-banyak.. Baru best, puas minum!" 
"Nanti kakngah besar, kakngah belanja ayah & ummi makan. Seorang sepinggan, boleh order air banyak-banyak! Baru puas.."


Dan setiap kali saya mendengar kata-kata mereka yang bersemangat itu, saya tersenyum. Saya tahu, keadaan 'berkongsi' itu menyebabkan mereka tidak puas menikmati apa yang mereka gemari. Saya amat tahu...


Kadangkala, naluri seorang ibu menyebabkan kita teringin untuk memberi mereka segalanya, memperlengkapkan mereka secukupnya, mengadakan segala yang mereka ingini dan seboleh-bolehnya tidak mahu melihat anak-anak kecewa atau merasa tidak cukup. Namun, saya seorang ibu. Saya punya tanggungjawab. Tanggungjawab mendidik dan mempersiapkan mereka untuk bersedia menghadapi kehidupan duniawi yang sungguh getir. Dan bertanggungjawab untuk mendidik mereka agar mengetahui bahawa mereka lahir ke dunia dengan tanggungjawab.

Seringkali bila frasa "..biar puas!" itu mereka tuturkan, saya mengambil peluang yang terbuka untuk mengajak mereka berdiskusi.

***

"Ummi, bestkan kalau apa yang kita nak, semua kita dapat?" kata along.

"Hmm.. mestilah best! Tapi along rasa betul ke kalau kita dapat semua yang kita nak, kita akan rasa best?"
Berkerut dahi si along mendengar soalan Ummi.

"Eh, takkanlah tak rasa best Ummi... Habis, kita dapat apa yang kita nak..." Jawab along, teragak-agak

"Cuba along bayangkan. Along makan KFC (sbg contoh) banyaaaak-banyaaak sampai puas. Agak-agak lepas along kenyang dan puas sangat tu, along rasa nak makan tak lagi KFC tu?" Ummi cuba menduga.

"Hmm, dah kenyang, mestilah along tak nak dah makan KFC," jawab along pantas.

"Kalau hari ni Ummi belikan along KFC banyak-banyak, esok Ummi belikan lagi along KFC banyak-banyak, lusa Ummi belikan lagi. Along suka tak?" Ummi menambah lagi, ingin menduga.

Terdiam sebentar, berfikir agaknya. Riak muka along agak tersenyum mendengar perkataan 'banyak-banyak', mungkin membayangkan betapa seronoknya kalau ia jadi realiti. Tapi kemudian wajahnya berubah menjadi agak serius, dan akhirnya dia menjawab, "Hmmm.. tak bestlah Ummi. Mesti along jemu. Hari-hari makan KFC banyak-banyak.."

"Kalau along jemu, rugilah along, kan? Sebab dah kurang dah benda yang along suka. Dulu along suka KFC, tapi sekarang along dah jemu.. Rasa 'tak puas' ini pun nikmat tau along..Bila sesuatu tu sedap dan jarang dapat, along akan rasa best dapat makan, walaupun sikit, betul tak?"

"Betullah Ummi. Agaknya kalau along dapat terus apa yang along nak mesti along dah rasa tak best. Tapi along tahu, ada tempat yang along boleh dapat apa je yang along nak!" Wajah along kembali ceria.

Adik-adiknya yang hanya memasang telinga sejak tadi makin mendekat. Rupa-rupanya mereka juga ingin tahu apa yang along bakal katakan. Ummi membiarkan along bercerita. Kerana Ummi percaya, yang paling penting ialah memahamkan si abang, kelak dia akan menjadi penyampai yang sangat berkesan - pengaruh rakan sebaya.

"Ummi dulu ada cakap, kalau kita masuk syurga kita akan dapat semua, apa je yang kita nak," tutur along, seronok kerana seluruh perhatian tertumpu padanya.

"Kalau kakngah nak beg sekolah ada roda? Yang warna pink? Boleh ke?" tiba-tiba kakngah menyampuk. Matanya menatap wajah abangnya dengan penuh penantian.

"InsyaAllah kakngah akan dapat. Kan Ummi?" along menjawab penuh yakin, sambil memandang Ummi untuk pengesahan. Ummi hanya tersenyum mengangguk. Membiarkan gelanggang perbincangan dibuka. Membenarkan along menjadi moderatornya. Along sebagai abang yang bakal menjadi ketua adik-adiknya, bakal menjadi ketua keluarga dan pejuang agama, insyaAllah..

"Abang Amir nak coklat! Oh, oh... abang amir nak mainan, nak mainan.." si kecil berumur  4 tahun lebih pun turut teruja menyenaraikan keinginannya.

"Tapi kenalah masuk syurga dulu... Kalau nak masuk syurga, kena taat ibubapa, kena solat, baca Quran, tutup aurat. Macam yang kita belajar di PASTI," along melayan kerenah adik-adik. Perbincangan antara Ummi dan along telah menjadi medan anak-anak berfantasi tentang keinginan masing-masing..

***

Tersenyum saya melihat semangat anak-anak. Tersentuh hati melihat keakraban mereka. Memang, sebentar lagi mereka akan kembali dengan kenakalan mereka. Dan isu 'tidak puas' itu pasti bangkit kembali. Tapi itulah anak-anak. Ikhlas dan telus. Tanggungjawab kita sebagai ibubapa mencorakkannya menjadi anak-anak yang soleh. Mengingatkan mereka andai terlupa. Tidak jemu mendidik dan terus mendidik. Selagi nyawa dikandung badan...

0 comments:

Post a Comment