Friday, December 10, 2010

Homemade Pizza, Anyone?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

GOOD NEWS : New homemade pizza is now in town! Fresh from oven, made by Muslim, halalan toyyiba pizza.

Anda boleh buat tempahan Pizza (Homemade) sepanjang cuti sekolah ini. (tertakluk kepada kebolehsediaan - sila telefon untuk pastikan)


Image courtesy of Uncle Google
Spesifikasi pizza anda:

Saiz : 10" x 8" (Ya, ia berbentuk empatsegi. Bentuk bulat boleh dibuat upon request - saiz mungkin sedikit berbeza.)
Base : Roti yang diperbuat daripada tepung gandum, yeast dan mengandungi telur. (Tetapi tetap tidak sesuai untuk yang alergik kepada telur - kerana topping mayonais yg mengandungi telur)
Topping : Sos tomato, sos cili, daging kisar, mixed vege, mayonais. (Jika tidak mahu sos cili, boleh beritahu)

BUAT JANGKAMASA TERHAD, HARGA PROMOSI ISTIMEWA
(10 Disember 2010 - 25 Disember 2010 sahaja)
RM 25 RM 15 SAHAJA!

Bagaimana untuk menempah?

1. Telefon / sms :  019-9893726 (Ain)
2. Nyatakan jenis pizza yang anda ingini : Daging / ayam.
3. Sila buat tempahan sekurang-kurangnya sehari sebelum penghantaran.
4. Tempahan juga boleh dibuat lebih awal, sila follow-up dan confirmkan tempahan anda semula, sehari sebelum tarikh yang anda ingini.
5 Maklumkan juga waktu penghantaran (pagi/petang).
6. Kita akan berjumpa di pick-up point yang dipersetujui.

Senarai pick-up point:
a. Stesen Shell baru berdekatan Surau Austral (Siddqi Auto)
b. Stesen Petronas Tanjung Aru
c. Perkarangan Masjid Negeri, Sabah


Nota : Hanya untuk tempahan sekitar Kota Kinabalu sahaja. TERIMA KASIH.

Tuesday, December 7, 2010

SALAM MA'AL HIJRAH 1432H : Rupa terkini "APOSTROPHE"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Alhamdulillah, setelah sekian lama mencari dan mencuba beberapa template, akhirnya blog ini diberi wajah baru. Dan setelah beberapa lama, baru bersemangat kembali ingin mencoret sesuatu di laman blog yang tak sepertinya ini...

Hari ini 7 Disember, 2010. Cuti sempena Ma'al Hijrah. Hmm.. Tiada aktiviti yang signifikan. Sekadar rutin biasa, mencuci baju, mengemas, memasak. Tapi lebih istimewa kerana semua ahli keluarga ada di rumah. Itu sudah cukup untuk membahagiakan seorang ibu.


 Buat masa ini, saya sedang 'angau'. Ya, tidak sabar nak mendapat sesuatu yang saya idam-idamkan sekian lama.. (walaupun hakikatnya cuma menumpang).

Semoga Allah permudahkan urusan. Memang besar cabarannya untuk mendapatkan rumah yang kita idam-idamkan..

InsyaAllah, kelak saya akan berkongsi entry yang lebih konstruktif. Tengah mencari semangat, bersempena tahun baru ini.

Saya mendoakan semoga hari ini menjadi titik permulaan hijrah kita ke arah yang lebih baik. Kenangilah sirah Rasulullah s.a.w. yang berhijrah pada 1432 tahun yang lalu demi kesejahteraan agama Allah. Semoga kita terkesan dgn sunnah Rasulullah, kesabaran serta keindahaan akhlaq baginda. Semoga kita diiktiraf di akhirat kelak sebagai ummat baginda yang dicintai. Amiinn..

SALAM MA'AL HIJRAH 1432H.

Friday, October 22, 2010

20102010 - Hari penuh pencapaian.

Salam Jumaat, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Alhamdulillah, sampai lagi ke hari Jumaat. Pejam celik, pejam celik.. cepat betul!

Kenapa tajuknya 20102010? Heheh... Sejujurnya saya tidaklah seghairah orang lain, memandang tarikh itu dengan rasa kagum, melihatnya seolah-olah ianya tarikh penuh keramat. Akan tetapi, kebetulannya Allah taqdirkan hari itu penuh dengan pencapaian. Memandangkan baru hari ini saya sempat update blog, maka terpaksalah saya berkongsi satu entri yang agak backdated!

1. Buat pertama kalinya, Ihsan akhirnya berjaya menapak (merangkak) selangkah dua. Kebetulan ketika itu sedang bervideo-call dengan adindaku Jannatul Madihah a.k.a Mak Lang. Rezeki Mak Lang nampaknya! sayangnya, aksinya itu tidak sempat dirakamkan..

2. Bagai tak cukup dengan pencapaiannya itu, Ihsan sekali lagi mencapai benchmark seterusnya, dia berjaya bangun dan berdiri sambil berpegang pada stool dan meja kopi di ruang tamu. Alangkah gembiranya dia! (Ummi dia yang terlebih excited!).

Lihatlah perkembangannya yang sangat mengujakan. (Sila abaikan 'hasil seni' yang menjadi background gambar ye..)

 Berusaha keras untuk mencapai meja kopi berdekatan stool sebaik stabil berdiri.
Masih agak cuak... Pegang kuat-kuat Ihsan. Ummi jauh ni..

 Amboi amboi.. berani lepas tangan sebelah yea..
 Sempat memberi pose istimewa untuk Ummi yang sibuk tangkap gambar!
Best kan explore dunia dari aras penglihatan yang baru?

3. Pencapaiannya tidak terhenti setakat itu. Pada petang itu, saya perasan Ihsan pertama kali membuat 'mulut ikan emas' dengan bibirnya. Satu trait yang diwarisi dari ayahnya, abang-abang & kakak-kakaknya.. Juga tidak sempat saya rakamkan, kerana ketika itu dia sedang leka melihat sesuatu dan terus tersenyum bila ditegur. Bila tersenyum, hilanglah mulut kiut itu! 

4. Dan yang paling seronok sekali adalah pencapaian diri sendiri yang berjaya membereskan kebanyakan kerja dalam jangkamasa yang singkat. Juga berjaya menahan diri (bercuti) daripada membuka laptop seharian suntuk! *Pat on my back*

Cukuplah, nanti lain kali kita cerita lagi, insyaAllah.. :)

Friday, October 15, 2010

Seminggu yang sangat pantas.

Salam Jumaat buat semua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Benarlah dunia dah hampir sampai ke penghujungnya. Tiba-tiba sahaja dah hari Jumaat. Isnin & Selasa yang hyper-sibuk, Rabu & Khamis yang tak lekang dengan tugasan harian. Dan hari ini hari Jumaat. Allah...

Jumaat memang indah. Boleh dikatakan semua orang yang bekerja sangat menanti-nantikan hari Jumaat. Kerana Jumaat bermaksud, esoknya Sabtu..

Bagi saya, hari Jumaat memang istimewa. Kesibukannya juga cukup istimewa. Dan jika hari-hari lain saya rasakan sangat pantas berlalu, hari Jumaat pula memang tersangat pantas! Apa-apa pun, saya bersyukur kerana masih hidup, menjalani satu lagi Jumaat dalam hidup saya. Semoga saya manfaatkannya dengan baik. Allah, bantulah..


Sehingga ke hari ini, saya masih belum mampu menghasilkan entry yang berkualiti. Saya amat ingin melapangkan sedikit ruang masa bagi tulisan yang baik. Namun buat masa ini kekangan masa menghadkan ruang & peluang yang ada. InsyaAllah, kelak ada berita gembira yang bakal meringankan tugasan harian... amin!

Doa-doakanlah ye? Sehingga itu, memang setiap minggu akan jadi minggu yang sangat pantas!

Wednesday, October 13, 2010

'Tak Puas' pun nikmat juga...

Ada ketikanya, kami sekeluarga makan di luar. Dan seperti biasa, kami akan memesan makanan kurang daripada jumlah orang yang ada. Seringkali kami akan berkongsi makanan dan minuman..

Ada kalanya, saya atau suami membelikan 'jajan' atau makanan ringan untuk anak-anak. Seperti biasa, makanan ringan ini dibeli dalam kuantiti yang sedikit, dan mereka terpaksa berkongsi makanan itu..

Ada waktunya, kami membelikan anak-anak minuman dalam kotak. Minuman dalam kotak itu bukan sekotak seorang, tapi sekotak minuman 1 Liter yang terpaksa dikongsi oleh seisi keluarga.

Natijahnya, anakku sering berkata,

"Nanti along besar, along belikan jajan sorang satu. Baru puas makan!"
"Nanti abang amir dah kerja, abang amir beli air kotak banyak-banyak.. Baru best, puas minum!" 
"Nanti kakngah besar, kakngah belanja ayah & ummi makan. Seorang sepinggan, boleh order air banyak-banyak! Baru puas.."


Dan setiap kali saya mendengar kata-kata mereka yang bersemangat itu, saya tersenyum. Saya tahu, keadaan 'berkongsi' itu menyebabkan mereka tidak puas menikmati apa yang mereka gemari. Saya amat tahu...


Kadangkala, naluri seorang ibu menyebabkan kita teringin untuk memberi mereka segalanya, memperlengkapkan mereka secukupnya, mengadakan segala yang mereka ingini dan seboleh-bolehnya tidak mahu melihat anak-anak kecewa atau merasa tidak cukup. Namun, saya seorang ibu. Saya punya tanggungjawab. Tanggungjawab mendidik dan mempersiapkan mereka untuk bersedia menghadapi kehidupan duniawi yang sungguh getir. Dan bertanggungjawab untuk mendidik mereka agar mengetahui bahawa mereka lahir ke dunia dengan tanggungjawab.

Seringkali bila frasa "..biar puas!" itu mereka tuturkan, saya mengambil peluang yang terbuka untuk mengajak mereka berdiskusi.

***

"Ummi, bestkan kalau apa yang kita nak, semua kita dapat?" kata along.

"Hmm.. mestilah best! Tapi along rasa betul ke kalau kita dapat semua yang kita nak, kita akan rasa best?"
Berkerut dahi si along mendengar soalan Ummi.

"Eh, takkanlah tak rasa best Ummi... Habis, kita dapat apa yang kita nak..." Jawab along, teragak-agak

"Cuba along bayangkan. Along makan KFC (sbg contoh) banyaaaak-banyaaak sampai puas. Agak-agak lepas along kenyang dan puas sangat tu, along rasa nak makan tak lagi KFC tu?" Ummi cuba menduga.

"Hmm, dah kenyang, mestilah along tak nak dah makan KFC," jawab along pantas.

"Kalau hari ni Ummi belikan along KFC banyak-banyak, esok Ummi belikan lagi along KFC banyak-banyak, lusa Ummi belikan lagi. Along suka tak?" Ummi menambah lagi, ingin menduga.

Terdiam sebentar, berfikir agaknya. Riak muka along agak tersenyum mendengar perkataan 'banyak-banyak', mungkin membayangkan betapa seronoknya kalau ia jadi realiti. Tapi kemudian wajahnya berubah menjadi agak serius, dan akhirnya dia menjawab, "Hmmm.. tak bestlah Ummi. Mesti along jemu. Hari-hari makan KFC banyak-banyak.."

"Kalau along jemu, rugilah along, kan? Sebab dah kurang dah benda yang along suka. Dulu along suka KFC, tapi sekarang along dah jemu.. Rasa 'tak puas' ini pun nikmat tau along..Bila sesuatu tu sedap dan jarang dapat, along akan rasa best dapat makan, walaupun sikit, betul tak?"

"Betullah Ummi. Agaknya kalau along dapat terus apa yang along nak mesti along dah rasa tak best. Tapi along tahu, ada tempat yang along boleh dapat apa je yang along nak!" Wajah along kembali ceria.

Adik-adiknya yang hanya memasang telinga sejak tadi makin mendekat. Rupa-rupanya mereka juga ingin tahu apa yang along bakal katakan. Ummi membiarkan along bercerita. Kerana Ummi percaya, yang paling penting ialah memahamkan si abang, kelak dia akan menjadi penyampai yang sangat berkesan - pengaruh rakan sebaya.

"Ummi dulu ada cakap, kalau kita masuk syurga kita akan dapat semua, apa je yang kita nak," tutur along, seronok kerana seluruh perhatian tertumpu padanya.

"Kalau kakngah nak beg sekolah ada roda? Yang warna pink? Boleh ke?" tiba-tiba kakngah menyampuk. Matanya menatap wajah abangnya dengan penuh penantian.

"InsyaAllah kakngah akan dapat. Kan Ummi?" along menjawab penuh yakin, sambil memandang Ummi untuk pengesahan. Ummi hanya tersenyum mengangguk. Membiarkan gelanggang perbincangan dibuka. Membenarkan along menjadi moderatornya. Along sebagai abang yang bakal menjadi ketua adik-adiknya, bakal menjadi ketua keluarga dan pejuang agama, insyaAllah..

"Abang Amir nak coklat! Oh, oh... abang amir nak mainan, nak mainan.." si kecil berumur  4 tahun lebih pun turut teruja menyenaraikan keinginannya.

"Tapi kenalah masuk syurga dulu... Kalau nak masuk syurga, kena taat ibubapa, kena solat, baca Quran, tutup aurat. Macam yang kita belajar di PASTI," along melayan kerenah adik-adik. Perbincangan antara Ummi dan along telah menjadi medan anak-anak berfantasi tentang keinginan masing-masing..

***

Tersenyum saya melihat semangat anak-anak. Tersentuh hati melihat keakraban mereka. Memang, sebentar lagi mereka akan kembali dengan kenakalan mereka. Dan isu 'tidak puas' itu pasti bangkit kembali. Tapi itulah anak-anak. Ikhlas dan telus. Tanggungjawab kita sebagai ibubapa mencorakkannya menjadi anak-anak yang soleh. Mengingatkan mereka andai terlupa. Tidak jemu mendidik dan terus mendidik. Selagi nyawa dikandung badan...

Sunday, October 3, 2010

AHAD.. AHAD.. AHAD..

Assalamualaikum, salam Ahad buat semua..

Bagi kita yang hidup di zaman ini, bila sebut AHAD, maka kita akan associate atau kaitkan dengan cuti dan bermalas-malasan, bergembira dengan keluarga atau enjoy bershopping dengan kawan-kawan atau keluarga.

Tapi saya sengaja ingin menukar sedikit perspektif, dengan melihat perkataan Ahad yang mempunyai makna signifikan dengan ketauhidan. Suka saya menarik perhatian pembaca menelusuri suatu kisah yang kita sering dengar sejak kecil dulu, sekadar renungan di hari Ahad ini...

****

BILAL BIN RABAH : “KULITNYA HITAM, HATINYA PUTIH”

Di mana sahaja kita berada di pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah. Kelahirannya dari bumi Habsyah, mengikut riwayat lain, dari negara Hijaz.

Kulitnya berwarna hitam, ternyata hatinya putih berseri dengan basuhan wudhu’ yang tidak pernah diabaikannya sejak keislamannya. Terbukti dengan kisah Isra’ dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha fana’.

“Wahai Bilal, apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.
 Bilal menjawab, Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudhu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau menjadi hamba kepada seorang tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam. Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.
Semasa bilal masih hamba, berita keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan Bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat di dada bilal, sehingga sendat penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan “AHAD.. AHAD.. AHAD..” sahaja, sebagai tanda ketauhidan Bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq R.A melihat kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah peri kebinatangan, menyebabkan Abu Bakar telah membeli Bilal, malah memerdekakannya.

Bilal terselamat dari seksaan Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti sekadar itu, malah berterusan pula dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan terhadap bapa Ammar, Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.
Umayyah yang jahat dibunuh Bilal dalam peperangan Badar, waimma pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan, kehadirannya dalam peperangan badar akan menyebabkan dia berketemu dengan Bilal.

Tidak mahu terlibat dalam peperangan badar, memperlihatkan kekecutan Umayyah yang dilihat berani dihadapan hamba-hamba yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan Umayyah seperti perempuan.
Diambilnya setanggi wangian, diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, ”wangian setanggi akan melekat kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan, tetapi adalah wanita,” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.
Bagai dipelempang ke muka dengan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit itu, menyebabkan Umayyah terlibat juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai, seterusnya berjumpa dengan Tuhan yang maha memberi keadilan.


Umayyah terbunuh dalam peperangan badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti Bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak keIslaman Bilal, beliau sangat rapat dengan Nabi SAW. Kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan 'geli geleman’ dalam hati Nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, bilal yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang diseksa oleh kuffar, dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (baca : tukang azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.
Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.
Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.
Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.
Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.
“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, bilal kesedihan. Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.
Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.
Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; Hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.
Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik Bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung kaabah dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.
“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.
Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” kegamatan Madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.
Tangisan yang berpunca, cari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. kerinduan bersama kekasih Allah yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta.

Semasa Bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut, pasti akan ditolak.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.
Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka Blal pun akur. Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan Bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah Bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 Hijriah.

(credits to http://amirhk.wordpress.com/)

***

Marilah sama-sama kita renungkan, apakah nilaiannya AHAD di hati kita? AHAD... AHAD... AHAD...

Saturday, October 2, 2010

Mencuci sesawang yang bersawang

Assalamualaikum.

Entry kali ini sekadar pemanas badan, pembuka bicara atau boleh dianalogikan sebagai house-warming. Justeru berbulan-bulan blog ini terbiar, terdampar, terhampar tanpa sebarang entry. Insya-Allah saya akan kembali menulis. Tapi maaf, bukan hari ini...

P/S: UIKKKSS?! Ada masalah mengupload gambar. Jadi entry kali ni memang tersangat poyo dan polos! *huhu...*



Monday, May 24, 2010

ALHAMDULILLAH!

Ingat lagi pada entry saya sebelum ini? Selama dua setengah hari ini - mlm Jumaat, hari Sabtu & hari Ahad - saya sangat sibuk. Kerana itulah saya tidak sempat mengemaskini status saya di Facebook, apatah lagi memasukkan entry baru dalam blog ini. Tapi saya sempatkan juga malam ni.. :)

Nukilan-nukilan saya agak beremosi dalam entry ini dan entry ini. Memang satu masalah yang saya belum dapat atasi sejak awal perkahwinan - sehingga perkahwinan hampir menjejak satu dekad - adalah rasa berat saya untuk ditinggalkan. Bukan tidak redha, tetapi saya tidak pernah mangli dengan perpisahan. Justeru itulah ternukil coretan-coretan yang agak sayu.

Pun begitu, saya sangat menghargai apa yang berada di hadapan saya - anak-anak, sahabat-sahabat dan aktiviti-aktiviti saya. Maka saya mengambil keputusan untuk menggunakan hikmah perpisahan bagi mengutip segala manfaat daripadanya. Syukur kepada Allah kerana memperuntukkan aktiviti-aktiviti untuk dilaksanakan pada hujung minggu kali ini.

Natijahnya, hujung minggu saya sangat sibuk & berisi. Alhamdulillah, segala perancangan berjalan lancar.


* * * * * * * * *


Bermula dengan Jumaat malam Sabtu yang merupakan malam lazim untuk usrah, kami dijamu dengan jamuan ringkas sempena keberangkatan beberapa ahli qaryah ke tanah suci untuk mengerjakan 'ibadah 'umrah. Syukur.. Semoga segala usaha mereka diberi ganjaran 'ibadah & diterima Allah. Selesai usrah, mesyuarat ringkas Nisa' dijalankan, juga di surau.


* * * * * * * * *

Awal pagi Sabtu, saya memulakan spring-cleaning. Seronoknya berpeluh di pagi hari. (Selalunya saya tidak berkesempatan, kerana terkocoh-kocoh dengan urusan anak ke sekolah & suami hendak ke pejabat, pulang ke rumah badan sudah penat, rehat sekadarnya melepas lelah dan bingkas untuk menyiapkan tempahan.) Sebaik sahaja selesai mengemas bilik depan dan ruang tamu, guru kek lapis saya sudah sampai di depan pagar rumah tepat jam 9.30pg.

Kami bertaaruf, almaklum, baru pertama kali bertemu (sebelum ini sekadar bertegur sapa di dalam FB & melalui SMS). Sambil itu, minum-minum sambil menjamah kek lapis yang beliau bawa. Jam 10 lebih kelas bermula, berlanjutan hingga ke petang. Terima kasih kak Hawina!

Selesai mengemas tinggalan kelas tadi, bersiap-siap & menyiapkan anak-anak untuk ke Nisa Bowling Games di Centre Point. Last minute, penganjur minta tolong buatkan riben (lebih kurang macam dalam gambar tu..) utk hamper. Dek kerana dah lama tak buat, saya risau tak sempat dan terus je angkut kesemua bahan beserta peralatan ke tempat game berlangsung. Alhamdulillah, sempat juga... :).

Hebat-hebat pemain bowling pada malam itu. Walaupun kebanyakannya tak pernah pegang pun bola bowling tu, tapi banyak bakat terpendam yang terserlah. Ada seorang peserta, Norsheela (ibu kepada 3 orang anak, kalau saya tak silap), berjaya strike 4 kali. Pencapaian yang sungguh mengagumkan untuk 1st-timer!

Yang hebatnya ialah 'kepakaran' para pemain mentarget longkang sebagai tempat laluan pintas! ;p

Liputan tentang Nisa Bowling Game ini boleh dilihat dalam blog Nisa' Kota Kinabalu.

* * * * * * * * *

Ahad. Seperti yang saya janjikan, saya merancang aktiviti untuk bersama anak-anak. Selesai mengemas rumah & memastikan anak-anak sudah mencuci kasut, saya membawa mereka beserta dua orang adik Nisa', Farah & Wani. Asalnya ingin mencari bahan kek lapis, tetapi baru teringat tiada cash di tangan. Sekadar 'berpusing-pusing' di sekitar kedai tersebut (ingin mengenal jalan), kami kemudiannya menuju ke Karamunsing. Menikmati brunch di Bilal Cafe, singgah solat Zohor sebentar di surau baru (tingkat 10) & kemudian sambung membeli-belah.

Pulangnya kami, bukan terus ke rumah. Dek kerana ada permintaan untuk menikmati angin laut di 2nd Beach Tanjung Aru, kami melencong ke sana. Angin laut menyambut ketibaan kami. Anak-anak sungguh sukahati. Saya sekadar duduk di bangku bersama baby Ihsan yang sedang tidur nyenyak. Penat bermain, berhenti minum sebentar di restoran berdekatan sebelum pulang.


ALHAMDULILLAH... Memang benar janji Allah. Dalam hidup kita mempunyai pilihan. Namun, pergantungan kepada Allah dan sentiasa bersangka baik denganNya akan membolehkan kita menikmati setiap yang berlaku ke atas kita - biarpun ianya dianggap musibah atau bukan perkara yang kita sukai. Yakinlah, sesungguhnya setiap perkara yang Allah izinkan berlaku mempunyai hikmah yang terkandung di sebaliknya untuk kita jadikan pengajaran, iktibar mahupun sempadan. Allah Maha Adil.

Alhamdulillah. Syukur Ya Allah, saya menikmati hujung minggu saya dengan sebaiknya walaupun sayu & rindu di hati tidak pernah terpadam terhadap si dia yang tersayang... Ketiadaan suami di sisi bukanlah penghalang bagi anak-anak untuk menikmati waktu berkualiti dengan ummi mereka. ALHAMDULILLAH!

Friday, May 21, 2010

Kek coklat buruk rupa ;p


Seawal jam 3.00 pagi saya bangun menyusukan baby Ihsan. Seusai tanggungjawab itu, saya bingkas menyiapkan persediaan membuat kek, seperti yang telah saya janjikan untuk anakanda sulung - along. Buat yang belum atau tidak membaca entry sebelum ini, saya telah merancang untuk membuatkan kek sempena sambutan Hari Guru sekolah along.

Keknya naik cantik... oven berbunyi & saya keluarkannya untuk disejukkan atas redai kek.

Bukan salah adunan, bukan salah oven. Tapi salah saya sendiri yang tanpa berfikir panjang cuba untuk menterbalikkan kek tersebut.. dan akhirnya kek itu berderai!! Huhu... hampir sahaja saya menangis, kerana masa yang suntuk untuk saya menyiapkan sebiji lagi kek. Dan juga kerana memikirkan pembaziran ke atas sebiji kek yang baik!

Tapi saya tetap tak akan menyerah kalah. Kek yang buruk rupa itu akan saya transformkan menjadi popcakes yang comel! Tunggu yeaaaa...?

Thursday, May 20, 2010

Hikmah kejadian..

Walaupun saya sangat rasa tidak seronok sekarang ini (sila baca entry sebelum ni yea..), tetapi bila diperhati to-do list saya, rupa-rupanya hujung minggu ini bakal merupakan tempoh yang sangat sibuk buat saya. Baguslah, harap-harapnya dapat mengalihkan perhatian saya & mood saya kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.

Bermula dari malam ini, saya perlu baking kek untuk along bawa ke sekolahnya esok, sempena sambutan Hari Guru. Mahu tidak mahu, perasaan sedih itu perlu saya ketepikan demi permintaan anak tersayang. Dari satu segi, saya amat bersyukur... :)

Bersyukur, kerana saya amat tidak gemar melihat diri saya dalam keadaan yang negatif. Sebagai manusia biasa, ada masanya saya turut mengalami tempoh-tempoh begitu. Begitupun, saya bersyukur kerana Allah sentiasa ada cara untuk memperingatkan saya, bahawa hidup saya singkat, maka jangan sia-siakannya!

Jumaat saya memang sentiasa merupakan hari tersibuk dalam seminggu. Berpadanan dengan titlenya sebagai penghulu hari. :) Siang dengan urusan anak-anak, rumahtangga & mencari nafkah. Malamnya pula ada usrah di surau. Setiap jumaat malam sabtu, usrah diadakan. Peluang untuk bersosial, mempereratkan silaturrahim sambil menambah ilmu sedaya mungkin diambil. Bukankah majlis ilmu itu merupakan taman-taman syurga?

Anak-anak pula gembira dengan adanya usrah ini, kerana itulah peluang mereka bermain dengan kawan-kawan & makan free beramai-ramai!

Kebetulan, esok jadual aktiviti di surau juga agak padat - selepas maghrib ada kelas seperti biasa, disusuli (selepas isya') usrah, mesyuarat, sedikit jamuan & tahlil sempena pemergian seorang ahli qariah ke Mekah. Semoga segala urusannya dipermudahkan...

Hari Sabtu pula, pagi ada kelas membuat kek lapis di rumah oleh kak Hawina. Sangat teringin nak belajar buat kek lapis kerana sangat sukakan kek lapis. Sebenarnya selama ini saya sentiasa mengagumi orang yang mempunyai ketekunan membuatnya. Almaklum, kek ini bukan calang-calang orang yang mampu. Proses membuatnya sangat remeh.

Saya pula bukan orang yang begitu. Tapi, sudah jadi fitrah saya, suka mencabar diri sendiri. InsyaAllah, ilmu membuat kek lapis ini bakal saya kuasai. Amiinn....

Malamnya pula saya perlu berada bersama adik-adik Nisa' untuk Pertandingan Bowling. Hmmm... Kita tengok, kumpulan mana yang paling hebat, bakal yang terbanyak memasukkan bola ke dalam longkang! Hehehh...

Ahad - belum ada perancangan khusus. Harap-harapnya saya dapat meluangkan masa untuk bermesra dengan anak-anak sambil membuat persiapan menghadapi minggu seterusnya.

Alhamdulillah, sungguhpun si dia tiada di sisi, mungkin ada hikmahnya. Mungkin dia bakal rasa terabai, andai hujung minggu saya yang sibuk ini mengambil terlalu banyak masa & perhatian. Mungkin juga saya yang terpaksa mengorbankan perancangan yang telah diatur demi menjaga hatinya (seperti yang selalunya saya lakukan..)

Walau apa sekalipun, setiap yang Allah izinkan berlaku ada hikmah di sebaliknya. Carilah, dan saksikan kehebatan Allah... Dengan izin Allah, hatimu akan tenang. Alhamdulillah.


Cuppalova : A Cup Too Much... :)

separuh jiwaku pergi....


Separuh jiwaku pergi...

Terbang bersamamu sayang.

Selamatlah dikau pergi, moga selamat kembali.

Kami menanti dengan penuh setia.

Menantimu kembali.

Menantimu kembali....

Laundry Day

Today is officially my Laundry Day. Dirty laundry waiting to be cleaned. Washed laundry waiting to be hung & dried. Dried, clean laundry piling up, waiting to be folded. Hopefully Mr. Sun will be co-operative enough to keep smiling all day today! :)

My sweetheart is going for Borneo Games this afternoon. (All the best dear!). And this means one new category of laundry work to be done - folded & selected clothes are to be arranged in the luggage.

I need to get the jobs done. Till then, I LOVE YOU. This applies to all who reads this entry. Thanx for spending your time reading my blog. Please feel free to leave your comments.

And I'll be waiting for my love to return throughout the weekends... *sigh*  Take care. Bon Voyage! We pray for your victory & may Allah protects you, safely back home... :) And oh, don't worry. I'll take good care on the kids, insyaAllah. We love you dear!


Wednesday, May 19, 2010

Antara Senyum & Tangisan.


Antara senyuman dan tangisan.
Kupilih tangisan andai ia membahagiakan.
Namun, senyuman yang lebih sering terukir dan dillihat orang.
Berbanding tangisan yang sering kusimpan sendiri.

Bukan tidak pernah.
Senyuman datang bersama tangisan.
Bahkan seringkali jua
Tangisan mengiringi sebuah senyuman.

Senyuman.
Merupakan suatu perkongsian.
Bahasa tanpa suara.
Mengikat dan mempererat.

Tangisan.
Merupakan suatu luahan rasa.
Gembira, sedih, kecewa.
Marah, duka, sesalan serta sebak rasa.
Sendu yang terlepas.
Melegakan jiwa yang berbuku.
Airmata yang mengalir.
Melepaskan sengsara yang terempang.

Ada orang pernah berkata.
Kita lahir dengan tangisan,
Sedang manusia di sekeliling kita tersenyum.
Usahakanlah,
Agar kita pergi dengan senyuman,
Sedang manusia di sekitar kita menangis.

Antara senyuman dan tangisan.
Kedua-duanya membahagiakan.
Kedua-duanya adalah kurniaan.
Kusyukuri nikmat Allah.
Dengannya aku gembira.
Dengannya aku lega.
Dengannya aku gembira..


Sunday, May 16, 2010

* YAWN*..


Boy oh boy oh boy... I'm bored!

And the worse part it, this happens on a weekend. When I'm supposed to be very happy with my beloved ones. Enjoying my limited quality time with them.

I just hate it when weekend mornings like this, I have to spend aimlessly. The kids have no activity. I have no exact plan to be executed with the kids.

The tiger in me lies cluelessly. What a  waste! Ain, get up & find something great to be enjoyed with the kids. time is running, the kids aren't getting smaller. One day, they'll walk out from the house as an adult, and you'll regret wasting such precious time yawning like this! Do it now. The kids look forward the weekends to be with you, so did you. The time has come, why waste it?

Alright. That's it. Come kids, let's hit the road! We'll go somewhere nice & spend our weekends - together..  (one small problems though - how am I supposed to handle 5 kids single-handedly? sigh. nevermind. I can survive!)

Saturday, May 8, 2010

Perspektif : Sempena Hari Ibu.

Apakah sebenarnya erti hujung minggu bagi anda?


Mungkin bagi orang yang berkerjaya, hujung minggu bererti berada di rumah, bermalas-malasan dan bergurau senda dengan anak-anak. Tapi bagi suri rumah, hujung minggu bererti kerjarumah makin bertambah!

Semoga suami yang mempunyai isteri yang telah berkorban untuk menjadi suri rumah mengerti isi hatinya.

Apalah salahnya jika diluangkan masa untuk berada bersama isteri & anak-anak. Berikanlah cuti buatnya, sekurang-kurangnya 1hari seminggu. Bayangkanlah kalau anda yang berada di tempatnya : setiap hari menyediakan makan minum, mengemas rumah, menyiapkan anak2 ke sekolah, membasuh baju & memasak. Bagi yang beranak kecil, sudahlah penat beranak belum usai, perlu lagi menyusukan bayi yang sentiasa perlukan perhatian, dalam masa yang sama kerja-kerja rumah serta tanggungjawab terhadap suami & anak2 yang lain juga tidak boleh diabaikan.


Tidak salah juga jika hujung minggu diperuntukkan untuk berjalan-jalan bersama keluarga. Banyak perkara yang berlaku sepanjang minggu yang boleh dikongsi cerita semasa keluar berjalan.

Sedarilah! Isteri anda tetap seorang manusia yang perlu rehat dan hiburan. Walaupun dia redha, tidakkah kita semua perlukan penghargaan & kerehatan?


Buat para suami, janganlah risau. Sungguhpun dalam hati terkadang ada rasa terkilan, tapi demi kasih terhadap suami & anak2 serta mengharap redha Allah, tanggungjawab itu tetap akan digalas sebaik mungkin. Kerana kami adalah para ibu yang juga adalah wanita.. Wanita yang melahirkan dari rahimnya, justeru selayaknya sifat Rahim itu juga wujud dalam diri kami, bukan?

Buat para isteri & ibu2, sesungguhnya saya sentiasa bangga menjadi sebahagian dari kalian yang tidak putus-putus berkorban. Kita punya hak, tetapi mengorbankan hak itu juga telah sebati dalam diri seorang yang bergelar ibu. Di situlah keindahannya...

Dalam kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU. Sesungguhnya title ibu ini merupakan suatu anugerah Allah. Uruskanlah ia dengan sebaik-baiknya. Namun tiada salahnya jika sesekali kita mempunyai ruang untuk diri sendiri. (Itupun kalau encik suami jenis yang memahami..)

Thursday, May 6, 2010

Misi & Visi.


Apa nak ditulis dalam blog ini ye? Hmmm.. kadang2 memang agak perit nak melunaskan janji untuk jadi blogger yang aktif ni. Nak memikirkan apa yang perlu ditulis, kerana bukan semata-mata perlu ada topik, malah topik itu biarlah ada isi & moral pengajarannya. Kerana blog ini bukan ruangan mengeluh, tapi lebih kepada catatan yg bermakna. Unutk dikongsi bersama. Untuk dijadikan kenangan apabila saya sudah tiada.

Menulis di blog bukan sekadar suka-suka. Ada misi dan visi di situ.

1. Ilmu baru. Saya sangat suka belajar & juga cintakan ilmu. Saya ingin memanfaatkan teknologi IT dan mempelajari perkara-perkara baru dalam kehidupan.

2. Istiqamah.Berusaha untuk menjadi blogger aktif, saya sebenarnya ingin melatih diri untuk beriltizam & istiqamah dalam melakukan sesuatu kerja. Walaupun sedikit, perlu ada isi & maknanya. Kerana beristiqamah adalah perkara yang amat sukar untuk saya lakukan, sejak dari kecil.

3. Peninggalan.Ia merupakan satu bentuk legacy (kalau layak dipanggil begitu). Andai saya tidak sempat menyampaikan pesanan & cerita kepada anak-anak semasa hayat saya, mereka masih boleh 'mendengar' cerita saya dengan membaca blog ini.


4. Mengasah skil penulisan kreatif. Penulisan merupakan wadah penyampaian ilmu. Penulisan yang berkesan memerlukan latihan yang kerap dan mantap. Blog ini menjadi medan & ruang saya berlatih. Banyak kekurangan dan kelemahan. Namun, saya memang bercita-cita untuk menulis dengan baik.

5. De-stress. Menjadi suri rumah memang memenatkan. Kadangkala kadar stressnya mengatasi golongan berkolar putih, biru dan sbgnya. Saya memilih untuk tidak stress, kerana saya percaya setiap sesuatu itu kita punya pilihan. Kecuali dalam perkara berkaitan Aqidah. Pun begitu, dalam itu pun kita masih memilih. Dan saya memilih untuk terus menjadi seorang Islam. Seorang Islam yang baik, insyaAllah. Itu pilihan saya. Berjaya atau tidak, hanya Allah yang menentukan. Jaid, blog ini saya jadikan saluran untuk mengalihkan stress menjadi sesuatu yang membuahkan hasil & bermanfaat.


6. Hobi. Sepanjang hayat saya, saya mempunyai banyak hobi. Banyak cita-cita. Banyak minat. Agak menghairankan, tetapi saya gembira. Kerana ia membuatkan hidup saya setiap hari sangat mengujakan. Sentiasa ada sesuatu yang baru yang ingin saya jelajahi & terokai. Saya melihat anak kecil yang sukar tidur kerana berasa dunia ini sangat menarik, & tidur adalah merugikan kerana terlalu banyak perkara perlu diterokai. Saya melihat anak kecil itu ada dalam diri saya.

7. Dakwah. Saya bukan seorang ustazah. Bukan juga seorang alim ulama'. Tapi saya ingin menjadi pewaris Nabi. Saya cintakan Rasulullah. Saya ingin cintakan apa yang Rasulullah cintai. Ingin lakukan apa yang Rasulullah sarankan. Dakwah (@ menyampaikan) adalah suatu perkara yang sentiasa Rasulullah lakukan sepanjang hayat baginda, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. Sekurang-kurangnya andai saya dapat lakukan sedikit daripada peratusan yang baginda lakukan (mungkin tak sampai pun 0.01%!), saya harus cuba lakukan. Tak mengapa andai orang-orang yang mengenali saya mungkin akan mengetawakan saya kerana berkata begini (kerana peribadi saya bukan sebaik-baik peribadi muslim - mungkin belum lagi sampai ke tahap itu) namun itulah cita-cita saya. Cita-cita adalah hak peribadi saya. Tercapai atau tidak, hanya Allah yang menentukan.


8. Tautan ukhuwah. Mencari kawan-kawan, kenalan, saudara-mara & sahabat-handai secara manual & fizikal adalah terlalu sukar dengan pergerakan yang terbatas. Semoga blog ini boleh menjadi medan menyambung silaturrahim. :) Amin.

9. Bisnes. Andai ada ruang & peluang, blog ini juga boleh menjadi peluang meningkatkan pendapatan. Tiada salahnya, bukan?

10. Masa yang suntuk. Sejak akhir-akhir ini saya sering berfikir tentang kematian. Mungkinkah masa saya sudah hampir? Kalau ya, saya perlu mengambil setiap kesempatan yang ada untuk memanfaatkan masa yang masih berbaki untuk saya. Blogging bagi saya bukan sesuatu yang membuang masa. Selagi kita memastikan ada faedah yang boleh diperolehi daripadanya.

Banyak lagi objektif yang ingin saya capai, secara langsung mahupun tidak daripada blog ini. Mungkin entry kali ini agak formal, tapi itulah saya. Saya pernah dikenali sebagai 'kamus bergerak', 'encyclopaedia bergerak','konvensional', bercakap menggunakan 'ayat buku teks'/'ayat skema', walaupun saya ini juga hakikatnya adalah seorang yang Happy go lucky. Tak salah, selagi dalam landasan syariat.

Don't get me wrong ye? Bukanlah baik sangat saya ni pun. Cuma cuba berusaha untuk menjadi baik. Marilah kita berusaha jadi orang baik! :)

Gunakan blog dengan misi & visi. Gunakanlah ia dengan baik - peringatan khusus buat saya.

Wednesday, May 5, 2010

Nasi lemak, oh nasi lemak!

As a Malaysian, nasi lemak really means a lot to me. It's a meal brought from the past. I grew up with nasi lemak, yet never grow out of it! I don't know about anyone else, but nasi lemak is a symbol of sweet memories - a dish cooked with love by my mother (who also sell nasi lemak back then). But as a person pampered with the best nasi lemak in the whole wide world, it's really hard for me to find a pack of nasi lemak that suits the 'standard taste' I set in my mind! Most of the time, I have to opt for cooking it myself if I craved for it.

Despite the name : Lemak = Fat, nasi lemak nowadays is not so fatty anymore. I cook nasi lemak using less santan than most people used last time. The sambal needs to be of a proportionate combination of subtle sweet, sour, salty, and on top of 'em all - pedas! It actually is a balanced meal, where you can find the needed nutrition in one plate - vitamins in the cucumber (& some people add other kinds of veges too in their nasi lemak), proteins in the fried anchovies & hard-boiled eggs, fiber & carbs in the nasi itself. Well, if you restrict yourself to one pack at a time, I don't see eating nasi lemak for a breakfast to be hazardous to your diets!

A matter of fact, eating a plate of nasi lemak will make you feel full for the whole day, saving the risk of eating too much for lunch & munching unhealthy snacks in between the meals.

Whoaa! I should stop babbling as my blog is gonna be a nutritionist's homepage if I don't.

To make long things short, I LOVE NASI LEMAK! ..and currypuffs, and cakes, and chocs, and ice creams, and etc, etc..

(Sebenarnya tengah cari semangat nak start balik buat nasi lemak untuk dijual. dah ada permintaan, tapi masih belum berkesempatan & berkesemangatan lagi nak memenuhinya! huhu...)

Tuesday, May 4, 2010

Mentari, bakarkan semangatku sehangat sinaranmu!

Semalam buat kali pertama dalam beberapa bulan, kepala saya berdenyut-denyut. rasanya berat. sangat berat.

Alhamdulillah, perjalanan menghantar kakngah tidak sukar, pulangnya juga begitu. Mungkin berkat doa yang dibaca oleh kakngah setiap kali keluar rumah yg dibaca lafaz Arab & mafhumnya sekali,

"Segala puji bagi Allah yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedangkan kami tiada kuasa menggunakannya kalau tidak dengan kuasa Allah. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Malahan di sepanjang perjalanan,(dengan harapan selamat sampai di sekolah & tak kena tulis nama sebab lewat!) mulutnya tidak henti2 berkumat-kamit melafazkan doa,

"Rabbi yassir wa la tu'assir ya Kareem.."

Dalam perjalanan pulang, kepala saya sudah memberat. syukur pandangan tidak terkabur dek panas matahari yang memancar & menyilaukan mata. SubhanaLlah..panas betul, walaupun jam baru menunjukkan pukul 7.15pagi. Ihsan yang duduk di dalam baby car seat berkerut-kerut setiap kali matanya dipanah silauan mentari pagi. Comel!


Selesai menghantar kakngah ke sekolah, saya terus pulang. Hajat di hati nak mengemas-ngemas rumah & kemudian keluar semula untuk urusan mengepos bungkusan tempahan pelanggan-pelanggan. Malah, sudah membuat temujanji bersama seorang adik UMS minta dia menemani saya ke pejabat pos. Almaklum, boleh dibayangkan bagaimana caranya saya hendak berurusan dengan 2 orang baby di tangan, bukan?

Tiba rumah, nampaknya yang dicita-citakan hanya tinggal angan2. Sampai di rumah dengan selamat sahaja sudah seribu rahmat! Anis mandi, Ihsan minta susu. Saya sempatkan mengambil 2 biji TF Chewables sebelum 'pengsan'. Dapat melelapkan mata dalam setengah jam, kepala agak lega dan saya bergegas menyiapkan makan tengahari memandangkan suami & anak2 bakal pulang tak lama lagi.

Job scope saya makin berkembang (ada harapan jadi pekerja cemerlang?). Manakan tidak, tiba-tiba sahaja sinki & saluran paip tersumbat. Berpeluh-peluh 'mengerjakannya'! Sampai tika ahli keluarga tiba di rumah, saya masih sedang 'berperang' dengan dapur yang banjir.. Terpaksalah makan roti dengan telur goreng sahaja mereka tengahari itu. Maafkan ummi, sayang. Apakan daya, dugaan datang tanpa dijangka. Alhamdulillah, syukur dapat suami & anak2 yang memahami..

Plumbing sudah, dapur pun berkecah. Dalam masa itu, cuaca pula berubah. Segera kain di jemuran diangkat dengan meredah 'banjir' di dapur, dan kembali mengemas kesan plumbing tadi (Plumbers tak boleh cari makan la lepas ni.. ;p). Alhamdulillah, selesai semuanya. Tapi tiba-tiba sakit kepala menyerang lagi!

Allah... ia mengingatkan saya bahawa saya sudah tak muda lagi. Setiap hari yang berlalu mendekatkan saya selangkah lagi untuk pulang bertemuNya. Tapi selagi hayat dikandung badan, saya tetap ingin bersemangat, berbakti sedaya mungkin untuk orang2 yang saya sayangi dan mencari bekal untuk berjumpa Kekasih yang tak pernah memungkiri janjiNya.

Rahmat Allah, kasih Rasulullah s.a.w (selawat dan salam buat junjungan), cinta suamiku, rindu mak & ayah, serta sayang anak-anak : penggerak semangatku yang selalu pasang surut macam air Laut China Selatan di Pantai Tanjung Aru..

Mentari, bakarkan semangatku sehangat sinaranmu!

Sunday, May 2, 2010

SEMANGAT BAKING. BISMILLAHIRRAHMANIR RAHIM.


kek & cupcakes adalah antara perkara-perkara yang saya amat 'passionate'. harapnya esok saya dapat mula baking seperti biasa. pelanggan yang biasa membeli/menempah sudah bertanya-tanya.

dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

semoga semangat untuk baking ini akan 'berbuah' esok! sehingga itu, saya perlukan rehat. bak kata orang-orang tua yang bijaksana:

" A GOOD DAY STARTS WITH A GOOD NIGHT.." :)

Bunga-bunga api..


dalam keadaan gelap, bunga-bunga api makin menyerlah.
tapi, hanya dalam keadaan gelap.
bila cahaya terang menjelma, bunga api itu akan malap.
kalau ada pun, tak siapa akan sedar atau perasan kehadirannya.

bunga-bunga api itu meletus-letus.
cahayanya menggembirakan.
cantik.
bersinar.

bunyinya memeriahkan.
bingit.

sesetengah orang gembira melihatnya.
sesetengah yang lain hatinya berbuku.
kerana bingit bunyi itu mengganggu rehat.
membuahkan tangis si kecil.
gerutu.

tapi bila bunga api itu habis.
bunyinya tiada lagi.
cahayanya telah sirna.

yang gembira tadi pulang.
yang berbuku tadi gembira.

begitulah hakikat bunga-bunga api...

(hari ni ada sikit emo lagi. biasalah manusia. tapi adakah entry kali ini relevan dgn emonya saya itu? entahlah...)

(harapnya emo ini akan berakhir dan kembali ceria. hormonal imbalance kah? huh, entahlah....)

Saturday, May 1, 2010

i feel trapped.


 





















  
I feel trapped.
This feeling is bad.
So bad it hurts.

I have a dream.
I believe I can fly.
I can reach my destiny.

But I'm crippled.
Like my limbs are all chopped.
I'm trapped.
Trapped in cage I formed.

The tiger in me roars.
Waiting to be unleashed.
So much things to be done.
So little time left.
So unmotivated.

It's bad.
It's bad it hurts.
It's very bad it hurts.
It hurts.

Sabtu yang ceria!!


Memulakan hari dengan bismillah, solat subuh secawan kopi sawda'. bersemangat. kena bersemangat!

Hari ni bakal merupakan hari yang sibuk. abg sayang dah keluar seawal 7.30 pagi, utk tournament futsal. sempat minum secawan Tea4Life.

Anak2 belum bangun. sengaja dibiarkan lewat sedikit, mudah ummi nak buat kerja2 rumah.

Jam 2ptg kelak ada mesyuarat yang bakal berlangsung di rumah. tournament futsal abg mungkin habis lewat. especially kalau menang dan masuk peringkat seterusnya... GOOD LUCK dear! hmm.. thinking of changing my handphone. penting betul utk update laporan aktiviti Nisa' di blog ini atau di facebook Nisa'. insyaAllah, sedang berusaha ke arah itu.

sengaja cuba mendisiplinkan diri - berusaha mencari duit & menyimpan sebelum mendapatkan sesuatu yang diingini. kerana tidak mahu terbeban dengan hutang kad kredit dsb, juga mendidik diri & anak2 bahawa rezeki yang diperoleh adalah anugerah Allah. perlu berusaha mendapatkannya. perlu menghargai apabila ia di tangan.

apa2pun, let's start the day positively. bersangka baik dengan Allah. mengharap rahmat & redhaNya. semoga hari ini lebih baik dari semalam...