Thursday, May 20, 2010

Hikmah kejadian..

Walaupun saya sangat rasa tidak seronok sekarang ini (sila baca entry sebelum ni yea..), tetapi bila diperhati to-do list saya, rupa-rupanya hujung minggu ini bakal merupakan tempoh yang sangat sibuk buat saya. Baguslah, harap-harapnya dapat mengalihkan perhatian saya & mood saya kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.

Bermula dari malam ini, saya perlu baking kek untuk along bawa ke sekolahnya esok, sempena sambutan Hari Guru. Mahu tidak mahu, perasaan sedih itu perlu saya ketepikan demi permintaan anak tersayang. Dari satu segi, saya amat bersyukur... :)

Bersyukur, kerana saya amat tidak gemar melihat diri saya dalam keadaan yang negatif. Sebagai manusia biasa, ada masanya saya turut mengalami tempoh-tempoh begitu. Begitupun, saya bersyukur kerana Allah sentiasa ada cara untuk memperingatkan saya, bahawa hidup saya singkat, maka jangan sia-siakannya!

Jumaat saya memang sentiasa merupakan hari tersibuk dalam seminggu. Berpadanan dengan titlenya sebagai penghulu hari. :) Siang dengan urusan anak-anak, rumahtangga & mencari nafkah. Malamnya pula ada usrah di surau. Setiap jumaat malam sabtu, usrah diadakan. Peluang untuk bersosial, mempereratkan silaturrahim sambil menambah ilmu sedaya mungkin diambil. Bukankah majlis ilmu itu merupakan taman-taman syurga?

Anak-anak pula gembira dengan adanya usrah ini, kerana itulah peluang mereka bermain dengan kawan-kawan & makan free beramai-ramai!

Kebetulan, esok jadual aktiviti di surau juga agak padat - selepas maghrib ada kelas seperti biasa, disusuli (selepas isya') usrah, mesyuarat, sedikit jamuan & tahlil sempena pemergian seorang ahli qariah ke Mekah. Semoga segala urusannya dipermudahkan...

Hari Sabtu pula, pagi ada kelas membuat kek lapis di rumah oleh kak Hawina. Sangat teringin nak belajar buat kek lapis kerana sangat sukakan kek lapis. Sebenarnya selama ini saya sentiasa mengagumi orang yang mempunyai ketekunan membuatnya. Almaklum, kek ini bukan calang-calang orang yang mampu. Proses membuatnya sangat remeh.

Saya pula bukan orang yang begitu. Tapi, sudah jadi fitrah saya, suka mencabar diri sendiri. InsyaAllah, ilmu membuat kek lapis ini bakal saya kuasai. Amiinn....

Malamnya pula saya perlu berada bersama adik-adik Nisa' untuk Pertandingan Bowling. Hmmm... Kita tengok, kumpulan mana yang paling hebat, bakal yang terbanyak memasukkan bola ke dalam longkang! Hehehh...

Ahad - belum ada perancangan khusus. Harap-harapnya saya dapat meluangkan masa untuk bermesra dengan anak-anak sambil membuat persiapan menghadapi minggu seterusnya.

Alhamdulillah, sungguhpun si dia tiada di sisi, mungkin ada hikmahnya. Mungkin dia bakal rasa terabai, andai hujung minggu saya yang sibuk ini mengambil terlalu banyak masa & perhatian. Mungkin juga saya yang terpaksa mengorbankan perancangan yang telah diatur demi menjaga hatinya (seperti yang selalunya saya lakukan..)

Walau apa sekalipun, setiap yang Allah izinkan berlaku ada hikmah di sebaliknya. Carilah, dan saksikan kehebatan Allah... Dengan izin Allah, hatimu akan tenang. Alhamdulillah.


Cuppalova : A Cup Too Much... :)

0 comments:

Post a Comment